DESTINASI MEMBELI-BELAH


PASAR BESAR SITI KHADIJAH



Ini ialah ikon untuk Negeri Kelantan.  Lambang kegigihan kaum wanita Kelantan, yang sering diakui lebih dominan menguasai ekonomi daripada kaum lelaki.  Pasar Besar ini mengabadikan nama isteri Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w., sebagai tribut istimewa untuk kaum wanita Negeri Kelantan yang cekal, gigih dan penuh semangat dalam memperjuangkan hidup.  Di sini anda akan terpesona dengan keunikan pasar ini yang rata-ratanya menampilkan kaum wanita yang menjual pelbagai jenis barangan basah dan kuih-muih serta segala yang anda perlukan.  Bentuknya bersegi lapan dan pemandangan dari atas cukup mengujakan.  Biasakan pendengaran anda dengan panggilan-panggilan mesra  abe (abang), kakak, adik, mek dan sebagainya.  Wanita Kelantan pandai berbahasa dan memujuk rayu, kata suami saya.  Kalau nak minum air, terus jadi makan nasi. Saya ambil itu sebagai pujian peribadinya terhadap saya.. :p


PASAR BORONG WAKAF CHE YEH

Tidak sempurna kunjungan anda ke negeri Kelantan jika anda tidak menjejakkan kaki ke sini.  Pasar Borong Wakaf Che Yeh yang terletak di Jalan Kuala Krai hanyalah 2 km dari pusat bandar Kota Bharu.  Pasar Borong Wakaf Che Yeh sentiasa hidup dan meriah.  Kata seorang teman "tempat ini tidak pernah tidur."  Cukup benar, kerana semakin menjelang lewat malam, semakin sibuk tempat ini dengan pengunjung.  Jangan terkejut jika anda masih terkial-kial mencari parking kereta pada jam 2.00 pagi.  Pada siang harinya, Pasar Borong Wakaf Che Yeh menjadi pasar tani yang menjual barangan basah seperti ikan, sayuran dan sebagainya.

Di sini ialah pusat beli-belah yang menjual pelbagai jenis barangan termasuk pakaian, kain pasang, tudung, totto, selimut, aksesori badan dan pelbagai jenis makanan, buah-buahan, malah beras Siam!  Kadang-kadang ada yang berkunjung ke sini hanya untuk menikmati pemandangan meriah pada lewat malam.  Pemandangan yang jarang dapat dilihat di tempat lain.




BAZAAR BULUH KUBU
Bazaar Buluh Kubu terletak bersebelahan dengan Pasar Besar Siti Khadijah. Ia mempunyai 4 aras dan satu aras bawah khusus untuk meletak kenderaan. Bazar ini menjual pelbagai barangan seperti barangan hasil kraftangan, kain dan baju batik, songket, cenderamata, pakaian dan sebagainya. Medan Selera pula terletak di tingkat paling atas.

Selain menjual pakaian, makanan dan barangan dapur, beranika barang perhiasan seperti perak, tembaga dan barangan ukiran kayu juga boleh didapati di sini.






BAZAAR TOK GURU
Secara peribadi, sangat sedikit yang saya tahu tentang Bazaar ini.  Walaupun beberapa kali balik ke Kota Bharu selepas pembukaan bazaar ini, saya masih belum berpeluang berkunjung.  Selalunya bila balik di waktu cuti persekolahan, bandar Kota Bharu jammed giler.  Jadi selalunya tak banyak tempat yang dapat dikunjungi dalam tempoh masa kepulangan yang terhad.

Cuma yang saya pernah dengar tentang Bazaar ini ialah kontroversinya.  Dengar khabarnya saiz lot kedai di sini sangat kecil menyebabkan ramai peniaga asal di Arked Uda dan Pasar Besar MPKB tidak mahu berpindah.   


ZON BEBAS CUKAI RANTAU PANJANG
Jika anda berkunjung ke negeri Kelantan, dan Rantau Panjang tidak berada dalam senarai tempat yang akan anda kunjungi, anda sepatutnya  berasa ralat dan menyesal.   Kawasan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang ini menyediakan ratusan kedai-kedai dan gerai-gerai yang menjual barangan murah dan berkualiti.   Dengan kawasan membeli-belah yang luas, pilihan barangan yang amat banyak dan tawaran harga yang cukup rendah, Rantau Panjang bagai syurga membeli-belah

Photo Credit:  http://www.eyriqazz.com/



ZON BEBAS CUKAI PENGKALAN KUBOR
Pengkalan Kubor berjarak lebih kurang 20 km dari bandar Kota Bharu.   Sama seperti Rantau Panjang, pekan Pengkalan Kubor juga merupakan zon bebas cukai.   Terdapat pelbagai barangan dengan harga yang murah.  Kawasan ZOn Bebas Cukai Pengkalan Kubor merangkumi kawasan yang agak kecil.  Jauh lebih kecil dibandingkan dengan Rantau Panjang.  Tetapi keseronokan membeli-belah di sini tetap ada.


 

JAAFAR RAWAS :  SHOPPING BUKU AGAMA

Setiap kali balik ke Kota Bharu, suami saya tidak pernah miss rutin shopping kesukaannya ini iaitu membeli buku-buku agama di Kedai  Jaafar Rawas di Bangunan PAS di Jalan Dato' Pati.   Di sini terdapat pilihan buku-buku agama yang cukup banyak.  Kadang-kadang kami sudah lama habis shopping pakaian dan makanan, tetapi suami masih asyik memilih buku-buku.  






No comments:

Post a Comment