PANTAI CAHAYA BULAN
(BEACH OF MOONLIGHT)
"Berdirilah di pantai itu, dan ketika kau tewas pada runtunan kenangan,
bisikkanlah namaku dan kau pasti tahu, di bumi manapun aku sedang berdiri,
ada desir angin yang akan menghembus pipi menyampaikan rindumu." (Seroja)
Pantai Cahaya Bulan (Beach of Moonlight) merupakan salah satu pantai yang terkenal di negeri Kelantan. Ia terletak kira-kira 10 km dari Kota Bharu dan merupakan kawasan pendaratan tentera Jepun untuk menyerang British pada 8 Disember 1941.
Pada suatu ketika, pantai ini dinamakan Pantai Cinta Berahi (Beach of Passionate Love), suatu nama yang dikatakan diberi oleh seorang askar British ketika dia di pantai ini pada masa Perang Dunia II.
Kerajaan PAS telah mengubah nama pantai ini kepada Pantai Cahaya Bulan dan masih mengekalkan akronim PCB. Kedengaran lebih romantik, sopan dan puitis dan sesuai pula dengan lambang parti kerajaan negeri ini. Sesetengah orang tempatan, bagaimanapun masih selesa menggunakan nama lama, tetapi ramai yang hanya merujuk kepada pantai ini sebagai PCB
Persisiran pantai ini adalah sejauh 1.2km. Pantai ini terkenal kerana kawasannya panjang dan lebar, dengan pasir yang cantik dan air yang jernih. Deretan pokok ru dan pokok kelapa pula menambahkan lagi kecantikan pantai ini. Oleh itu Pantai Cahaya Bulan telah menjadi tempat perkelahan yang popular di kalangan keluarga-keluarga tempatan, khususnya pada hujung minggu. Walaupun seperti pantai-pantai lain di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang diancam hakisan laut tengkujuh, Pantai Cahaya Bulan tetap menjadi tempat kunjungan pelancong-pelancong dan penduduk-penduduk negeri ini di hujung minggu.
Di sepanjang perjalanan ke PCB, anda akan menemui industri-industri kecil dan sederhana dan gerai-gerai yang menjual hasil tenunan songket, batik, dan pelbagai hasilan tradisional. Anda pasti akan teruja melihat kegigihan rakyat Kelantan mengusahakan industri ini sejak turun-temurun.
Perusahaan Songket Cik Minah di Kampung Penambang |
PANTAI IRAMA
(BEACH OF MELODY)
"Ketika musim damai, anginmu lembut berbisik mesra
Tapi bila tiba musim badai, pada siapa pohon dan pasir hendak bermanja?"
Mungkin tidak ramai yang mengetahui tentang pelbagai lagenda dan
cerita rakyat yang diperturunkan secara lisan sejak zaman berzaman
mengenai Pantai Irama, sebuah pantai peranginan yang
terletak di Jajahan Bachok iaitu kira-kira 35 kilometer dari bandar Kota
Bharu, ibu Negeri Kelantan.
Kononnya pada zaman dahulu kala terdapat sebuah batu menyerupai
seekor burung yang seakan-akan sedang terbang dari laut di tepi pantai
sepanjang kira-kira 2 kilometer itu. Tempat di mana batu yang dikatakan
wujud kini dikenali sebagai Kampung Tok Burong. Masyarakat dahulu kala
di sini juga percaya mengenai cerita kononnya wujud sebuah kemudi emas
yang timbul dipermukaan air di pantai itu bersama-sama seekor buaya
putih.
Pantai Irama juga menyimpan sejarah pahit tanahair
kerana menjadi salah satu tempat pendaratan utama tentera jepun di Tanah
Melayu pada zaman Perang Dunia Kedua dahulu dan kesan yang masih boleh
dilihat ialah beberapa buah kubu tentera inggeris yang masih terdapat di
situ.
Secara peribadi, Pantai Irama menyimpan nostalgia zaman kanak-kanak saya. Tertimbus antara lipatan sejarah dan simpang-siur kehidupan yang saya lalui - antaranya ialah kenangan di Pantai Irama. Sesungguhnya apa yang menjadikan nostalgia itu sesuatu yang indah dan tidak ternilai ialah kerana kita tidak mungkin mampu memilikinya lagi.
PANTAI SERI TUJUH
Secara peribadi, Pantai Irama menyimpan nostalgia zaman kanak-kanak saya. Tertimbus antara lipatan sejarah dan simpang-siur kehidupan yang saya lalui - antaranya ialah kenangan di Pantai Irama. Sesungguhnya apa yang menjadikan nostalgia itu sesuatu yang indah dan tidak ternilai ialah kerana kita tidak mungkin mampu memilikinya lagi.
Saya kerap mengunjungi pantai ini bersama keluarga di hujung minggu. Di sinilah saya mandi-manda, berkelah dan "bermain pasir dan debu sementara menunggu dewasa" (meminjam kata-kata seorang teman.. :p). Kerap juga kami membawa arwah datuk bersama yang akan kami "tanam" separas pinggang dalam pasir Pantai Irama. Itu ialah kenangan-kenangan yang amat saya rindui dan kini sudah jauh saya tinggalkan ke dalam waktu.
Di usia dewasa ini, sesekali bila pulang ke Kota Bharu, saya akan meminta suami memandu ke Pantai Irama, yang jaraknya lebih kurang 30 km. Dalam riuh suara anak-anak di tempat duduk belakang kereta, saya sering tenggelam dalam keharuan sendiri. Anak-anak tidak langsung terusik oleh pemandangan di Pantai Irama di luar tingkap kereta, sedang saya masih melihat keindahannya seperti tayangan flash-back dalam hitam putih.
Foto ini diambil dari laman www.adib.typepad.com menunjukkan sebatang pohon kelapa tewas oleh hakisan di Pantai Irama. |
PANTAI SERI TUJUH
(Beach of Seven Lagoons)
Mentari terbenam di Pantai Seri Tujuh, Tumpat. (Foto dicuri dari www.zuraisham.fotopages.com) |
Pantai Seri Tujuh terhasil dari pembentukan tujuh teluk. Saya percaya, setiap pantai dan laut yang membentuknya mempunyai cerita dan keindahan yang berbeza Pantai Seri Tujuh unik dengan caranya sendiri. Pemandangan yang tenteram dan aman, jauh dari kesibukan mewujudkan suasana sunyi dan menenangkan. Bersantai di pantai ini, sambil memandang laut lepas atau perahu-perahu nelayan boleh menghilangkan tekanan dan mungkin seketika melupakan masalah yang membelenggu. Sesekali cubalah terapi alam dan rasailah sendiri mustajabnya ciptaan Allah di luar sana.
Pantai ini jaraknya dengan Homestay Seroja lebih kurang 17 km, iaitu amat hampir dengan Kawasan Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubur.
PANTAI BISIKAN BAYU
(BEACH OF THE WHISPERING BREEZE)
"Ombak yang menjamah kakiku sekali, tidak akan kukenal lagi..." (A. Samad Said) |
Pantai Bisikan Bayu yang juga dikenali dengan nama Pantai Dalam Rhu - terletak hanya 50 km ke selatan Kota Bharu. Angin lembut bertiup di sepanjang pantai yang dipenuhi deretan pepohon Rhu di Kampung Semarak menyebabkan pepohon ini bergemersik seolah-olah bisikan yang menenteramkan.
Pantai Bisikan Bayu merupakan satu produk pelancongan yang paling awal dibangunkan di Pasir Puteh. Lokasinya terletak di Cherang Ruku, Semerak, 16 km dari bandar Pasir Puteh, 3 km dari Pekan Cherang Ruku.
No comments:
Post a Comment